nuffnang ads

Wednesday, December 1, 2010

PENGALAMAN SAYA MEMBUAT LIPUTAN BERITA KES MONA FANDEY/KES BUNUH KERAT 18, ANTARA KES BERPROFIL TINGGI DI NEGARA INI

Datuk Zaman Khan...bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang mengetuai kes berprofil tinggi pembunuhan Adun Batu Talam, Datuk Mazlan Idris. Datuk Zaman kemudian menjadi Ketua Pengarah Jabatan Penjara dan saya berpeluang menemubualnya mengenai kes itu di dalam pejabatnya di dalam Penjara Pudu yang kini hanya tinggal sejarah.
Pak Hussin (kiri) bersama abang Juraimi sedang berehat ketika menyiapkan rumah baru mereka beberapa tahun lalu. Setiap kali bertemu, pak Hussin tetap tenang walaupun ketika itu hatinya walang. Saya sering memujuknya supaya bersabar dan kata pak Hussin yang tak boleh saya lupakan ialah: "Kita ni dah macam saudara Mid!"

HARIAN Metro antara akhbar terawal menghidu berita kehilangan Adun Batu Talam, Pahang, Datuk Mazlan Idris sekitar1993. Khabar itu kemudian keesokannya membawa penangkapan sepasang suami isteri di Subang Jaya dan dibawa untuk siasatan ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur. Antara pegawai yang terbabit secara langsung dalam siasatan itu ialah DSP (jawatan ketika itu) Takbir.

Saya masih bertugas sebagai wartawan di meja jenayah ketika itu. Turut ditahan ialah pembantunya, Juraimi Hussin.

Saya bertolak ke Kampung Peruas, Ulu Dong, sebaik sahaja dimaklumkan Datuk Zaman Khan dan pegawai serta anggotanya bergegas ke sebuah rumah di situ untuk menggali mayat Datuk Mazlan yang rupanya telah dibunuh oleh Juraimi Hussin dengan didalangi pasangan suami isteri Mona Fandey atau Maznah Ismail dan suaminya, Mohd affandi Abdul Rahman.

Suasana kampung yang sunyi menjadi gempar secara tiba-tiba dengan berita pembunuhan itu dan kehadiran begitu banyak kenderaan polis turut menarik perhatian ramai orang. Saya dan jurugambar Yahaya Hashim sampai beberapa ketika selepas kedatangan Datuk Zaman Khan. Tubuh Datuk Mazlan disahkan menjadi mangsa bunuh dan dikerat 18!


Selesai tugas di situ, kami tidur semalaman di sebuah hotel di Raub kerana keesokannya akan berangkat pula ke Kuala Terengganu untuk melihat satu lagi kubur menempatkan sepasang suami isteri dan anak mereka yang disyaki turut dibunuh oleh pasangan suami isteri itu.

Selepas siap menemuramah penduduk dan mengambil gambar lubang yang dijadikan kubur, kami pulang terus ke Kuala Lumpur untuk menyiapkan berita berkaitan. Sementara itu dalam tempoh beberapa hari, Mona, Mohd Affandi dan Juraimi ditahan di lokap untuk siasatan lanjut.

MENEMURAMAH DATUK ZAMAN KHAN, PENGARAH JABATAN PENJARA KETIKA MONA, MOHD AFFANDI DAN JURAIMI DITAHAN DI DALAM PENJARA

Selepas memohon beberapa kali untuk mengadakan temuramah, akhirnya Datuk Zaman Khan bersetuju. Saya dan jurugambar Noor Azmi Mat Noor, memasuki pejabat Datuk Zaman di dalam penjara Pudu pada satu hari yang ditetapkan.(Ketika itu Zaman Khan telah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penjara daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman)

Kedatangan kami disambut dengan minuman ringan dan selama lebih dua jam kami bertanyakan tentang banyak perkara kepada Datuk Zaman Khan. Antara soalan yang wajib ialah:"Benarkah Mona Fandey dann suaminya boleh keluar dari penjara tanpa disedari oleh pegawai atau warder kerana dia dikatakan mempunyai ilmu ghaib seperti didakwa banyak pihak?"

Untuk soalan itu, Datuk Zaman Khan tergelak. Katanya, kalau betullah dakwaan orang, yang tinggal dalam sel di penjara itu siapa? Mona Fandey, Mohd Affandi atau siapa? Datuk Zaman akhirnya berterus-terang memang ada mendengar cerita orang seumpama itu, tetapi hakikatnya kata beliau baik Mona, Mohd Affandy mahupun Juraimi tidak pernah keluar dari selnya sesuka hati. Kata beliau lagi, ilmu ghaib yang dikatakan orang itu hanya dusta semata-mata.

MENEMURAMAH PAK HUSSIN, AYAH JURAIMI
(Di dalam mahkamah ketika memberi keterangannya, Juraimi Hussin, pembantu Mona Fandey dan suaminya Mohd Affandy mengakui telah menetak leher Datuk Mazlan sebanyak tiga kali sehingga putus atas arahan pasangan suami isteri itu)

Ayah Juraimi, saya panggil Pak Hussin sahaja, tinggal di Kampung Nelayan, Teluk Gong, Pelabuhan Klang. Saya menemuramah beliau lebih lima kali tentang kes ini. Pak Hussin seorang ayah yang amat baik, berhemah dan berbudi bahasa. Dia seorang tok siak di sebuah surau kampungnya ketika itu.

Banyak yang diceritakan pak Hussin tentang sejarah anaknya, Juraimi semenjak kecil hinggalah dia ditahan polis kerana terbabit dalam kes itu. Walaupun wajahnya tenang, saya dapat mengongsi kesedihan seorang ayah ketika itu. Pak Hussin kata, dia serahkan semuanya kepada Allah. Dia kata, negara ini ada undang-undang dan jika benar Juraimi bersalah dia redha dengan keputusan itu.

Pak Hussin bercerita tentang sifat dan peribadi Juraimi sejak kecil yang amat menghormati orang tuanya. Antara cerita yang masih saya ingat, Juraimi sering mengikutnya ke laut ketika kecil. Juraimi juga amat cekap memanjat pokok kelapa ketika masih di sekolah rendah. Namun babak sedih ialah apabila pak Hussin bercerita tentang kesulitannya melawat Juraimi ketika di penjara kerana kesusahan hidup memaksa mereka kadang-kala terpaksa meminjam duit jiran dan saudara untuk menjenguk anak kesayangan. Satu lagi cerita pak Hussin ialah permintaan Juraimi untuk dibawakan senaskah al-Quran untuk dibaca ketika di dalam penjara.

Memang kasih sayang seorang ayah dengan anak tidak pernah terputus. Dalam sembahyang dalam celik matanya, pak Hussin sentiasa berdoa yang baik-baik dan elok-elok sahaja untuk anaknya itu. Pernah ketika melawat anaknya itu, Juraimi memberi pesan kepada pak Hussin supaya seorang abangnya (abang Juraimi) bersedia untuk menjaga ibu dan ahli keluarganya. Memang saat Juraimi ditahan dipenjara sementara menunggu hukuman, merupakan saat-saat pedih dalam hidup pak Hussin. Namun setiap kali saya menemuinya, dia masih mampu menghadiahkan senyuman.

Saya pernah menulis puisi untuk pak Hussin di dalam Mingguan Malaysia, berjudul "Sabarlah Pak Hussin". Antara yang saya tuliskan ialah apa yang diceritakan pak Hussin itu akan mengalirkan air mata saya dan dari air mata saya ini akan saya tuliskan sebuah puisi untuk seorang ayah yang amat tabah. Pak Hussin kata, anggaplah kita bersaudara Mid! Engkaulah wartawan yang amat aku ingat dan aku senangi kerana sering memberikan aku semangat untuk berdepan kehidupan begini. Jujur, setiap kali saya bertemu pak Hussin air mata saya mengalir!

MENEMURAMAH DATUK ABDUL RAHIM ABDUL RAHMAN (ABANG TIRI MOHD AFFANDI)
Saya ke pejabat Datuk Abdul Rahim, ahli perniagaan terkenal. Siapa mengenali Rahim&Co, syarikat hartanah terkemuka itu, akan kenallah beliau. Beliau adalah abang tiri Mohd Affandy (suami Mona Fandey). Datuk Abdul Rahim dan Mohd Affandy adalah sebapa berlainan ibu.

Datuk Abdul Rahim bersetuju berjumpa selepas saya menyatakan tidak mahu mengganggunya lama-lama dan sekitar 15 minit beliau menceritakan beberapa perkara. Beliau bercerita tentang sifat adiknya itu dan 'kemarahan' kerana satu insiden ketika ayah mereka sakit, Mohd Affandy tidak pulang ke kampung.

Saya masih ingat kata-kata Datuk Abdul Rahim yang dia akan berjumpa wartawan untuk kali terakhir bagi kes itu dan sayalah wartawan pertama dan terakhir yang dapat bercerita dengannya tentang kes pembunuhan Datuk Mazlan yang dikaitkan dengan adik tirinya itu. Kata Datuk Abdul Rahim (mungkin sedikit marah ketika itu) dia seperti tidak boleh menerima Mohd Affandy sebagai adik kandung kerana perbuatan yang banyak melukai hati keluarga. Namun saya tahu, itu hanya luahan semata-mata kerana hakikatnya Datuk Abdul Rahim adalah seorang penyayang. Beliau seorang jutawan hartanah dan juga jutawan budi!

MENJATUHKAN HUKUM KE ATAS JURAIMI, MONA DAN MOHD AFFANDY
Akhirnya selepas melalui beberapa proses pendakwaan dan rayuan, mereka dihukum gantung sampai mati atas kesalahan membunuh Datuk Mazlan Idris di antara jam 10 malam hingga tengah malam pada 13 Julai 1993 di sebuah rumah di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, Pahang. Mereka dihukum gantung hingga mati di antara jam 6 hingga 6.30 pagi bersamaan Jumaat pada 2 November 2001.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10